Sekolah Kebangsaan De La Salle adalah sekolah bertaraf luar bandar yang terletak di Jalan Iskandar, Kampar. Sekolah ini berhampiran dengan kawasan Batu Berangkai dan Kg Padang Tembak.
Sekolah mula beroperasi pada 4 Mei 1953 dengan nama asalnya ialah St.Michael’s Institution Kampar Branch. Lokasi asal sekolah ini ialah di tepi gereja Katolik, Jalan Iskandar, Kampar. Ketika itu hanya 5 orang murid lelaki sahaja belajar di sekolah tersebut. Guru Besar pertama yang bertugas ialah Encik Chye Kar Loke. Pada tahun 1955, murid telah bertambah dan 4 buah bilik darjah telah di buka untuk menempatkan murid tahun 1,2,3 dan kelas tadika. Pada 31 Oktober 1956, sekolah telah berpindah ke bangunan yang ada sekarang di Jalan Iskandar dan diberi nama Sekolah Rendah Kebangsaan De La Salle, Kampar. Murid-muridnya terdiri daripada Tahun 1 hingga ke Tahun 6 serta murid Tadika. Semuanya terdiri dari lelaki sahaja kecuali kelas tadika yang bercampur
Dari Tahun 1963-1965, Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan sekolah ini sebagai ‘Kelas Pelajaran Lanjutan’pada sesi petang. Pada tahun 1963, sebuah kelas kanak-kanak cacat pendengaran telah dibuka dan menjelang 1970, 6 buah bilik darjah lagi telah dibina melibatkan jumlah perbelanjaan RM40.000.00. Peruntukan ini ialah dari kerajaan pusat dan derma dari orang ramai.
Buat masa ini, murid-murid sekolah ini terdiri daripada murid lelaki dan perempuan. Sebahagian besar dari mereka datang dari Batu Berangkai, Kg Padang Tembak, Sg Kroh, Temoh dan kawasan perumahan yang berhampiran.